Thursday 18 October 2012

Rasulullah S.A.W Menangis Sepanjang Malam



Rasulullah S.A.W Menangis Sepanjang Malam



Pada Suatu Ketika Rasulullah S.A.W Telah Menangis Sepanjang Malam Dan Mengulangi Ayat Ini Sehingga Ke Pagi,


Maksudnya,
 “Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Al-Maidah: Ayat 118)

Sepanjang malam itu Rasulullah SAW hanya membaca ayat ini saja pada setiap rakaat sembahyangnya. Diriwayatkan Nabi SAW membaca ayat tersebut sehingga pada masa rukuk dan sujudnya, mengadu kepada Allah dengan membaca ayat ini.

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amar bin Al-'As, bahawa Rasulullah SAW membaca ayat ini dan setelah selesai sembahyang dia mengangkat kedua-dua belah tangannya sambil berdoa kepada Allah dalam keadaan menangis, “Ya Allah Ya Tuhanku, umatku, umatku, umatku...”

Menyebut sepanjang doanya dengan kalimah itu mengadu kepada Allah sehingga Allah mengutuskan Malaikat Jibrail.

Allahlah Yang Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh Nabi-Nya, bersimpati dengan umatnya sekali gus kasih kepada umatnya, lebih daripada ibu bapa sayang kepada anaknya.

Ibu bapa sayang kepada anaknya hanya sekadar memberi makan dan minum serta pakaian di atas dunia ini saja.
Apabila mati, tidak diingat lagi. Adapun Nabi SAW sentiasa mengingati kepada umatnya sampai ke wafatnya dan sampai hari kiamat. Tetapi Allah lebih lagi daripada itu.

Berdoa sepanjang malam, setelah membaca ayat itu sepanjang malam dan berdoa sambil mengadu apa kesudahan umatnya, lalu Allah mengutuskan Malaikat Jibrail.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Jibrail, pergilah berjumpa dengan Muhammad, tanyakanlah dia apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Muhammad.

Bagaimanapun, Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam diri Nabi SAW tetapi Allah tetap mengutuskan Malaikat Jibrail untuk bertanyakan perkara itu. Rasulullah SAW memberitahu kepadanya, Baginda mengadu kepada Allah berkenaan umatnya supaya Allah menyelamatkan umatnya pada hari kiamat.

Lalu Allah berfirman yang bermaksud, “Wahai Jibrail, pergilah berjumpa dengan Muhammad dan katakan kepadanya, sesungguhnya Kami reda kepadamu dan umatmu dan Kami tidak akan melakukan apa-apa perkara memudaratkan umatmu.”

Diriwayatkan dalam satu hadis lain bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Diberitahu kepadaku bahawa seramai 70,000 di kalangan umatku masuk syurga dengan tiada hisab dan setiap orang daripada 70,000 ini diikuti oleh 70,000 orang yang lain, masuk syurga dengan tiada hisab.”

Diberi syafaat oleh 70,000 orang ini disamping syafaat Nabi SAW yang diberikan kepada umatnya. Seperti yang diriwayatkan oleh Ibu Kathir dalam tafsirnya sebagai tambahan daripada hadis ini bahawa Allah memberi keistimewaan di mana Dia tidak akan memperlakukan keburukan kepada umat Muhammad.

Dengan syarat umat Muhammad itu mestilah menjaga dua kalimah syahadah, jangan membatalkan dua kalimah syahadah, jangan melakukan perkara yang membatalkan Islam, mestilah mengikut ajaran Nabi SAW seperti disabdakan Baginda yang bermaksud, “peganglah dengan gigi geraham kamu”.

Ajaran Rasulullah SAW itu bukan saja dipegang dengan tangan bahkan dipegang dengan gigi geraham (dengan kuat) tidak berganjak.

Tidak undur walaupun sedikit daripada ajaran Nabi SAW. Jika seseorang itu mempunyai dosa, ada harapan mendapat syafaat Rasulullah SAW serta mendapat rahmat yang diberi Allah kepada umat Muhammad SAW.

Sumber Masjid Negara.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...